via https://www.hmetro.com.my/
Kuala Lumpur: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) serta pemilik pasukan MotoGP, Datuk Razlan Razali membuka peluang kepada 20 atlet negara untuk menerima tajaan latihan menggunakan gimnasium Anytime Fitness selama dua tahun.
Razlan yang kini membawa haluan baharu di luar dunia sukan permotoran berkata, keputusan itu dibuat sebaik sahaja beliau menjadi rakan kongsi serta pemilik kepada dua cawangan gimnasium berkenaan, dengan hasrat membantu atlet berpotensi menjalani latihan harian tanpa kekangan tempat.
“Saya mahu memberi pilihan kepada mereka. Jika mereka tidak ada tempat untuk berlatih di Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN), dengan tajaan ini mereka boleh berlatih di mana-mana cawangan gimnasium ini sama ada di Malaysia atau di seluruh dunia.
“Sebab fasiliti yang kami miliki sememangnya lengkap dan cukup untuk mereka berlatih. Contohnya dua atlet angkat berat yang kami taja memaklumkan fasiliti di gimnasium kami sangat lengkap untuk persiapan menghadapi kejohanan,” katanya.
Razlan berkata demikian ketika ditemui pada majlis pembukaan cawangan Anytime Fitness ke-101 di Semenyih, semalam.
Menurutnya, tajaan yang diberikan itu bukan soal nilai, sebaliknya memberi kemudahan kepada atlet untuk berlatih di mana-mana sahaja tanpa terikat dengan lokasi.
“Ia bukan soal nilai tajaan, tetapi kami mahu memudahkan mereka ini berlatih di mana-mana sahaja termasuk di seluruh dunia,” katanya.
Mengulas pemilihan atlet berbanding artis atau pempengaruh, Razlan menjelaskan golongan atlet sememangnya memerlukan gimnasium sebagai platform latihan utama dalam rutin harian mereka.
Antara atlet yang menerima tajaan itu termasuk pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah, Hakim Danish Ramli dan Kasma Daniel Kasmayudin.
Turut menerima manfaat ialah atlet angkat berat negara Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin; Olimpian negara, Khairul Nizam Afendy serta dua atlet muay thai negara, Amisha Azrilrizal dan Rifdean Masdor.



